Sunday, June 29, 2008

Ulangtahun ke-85 Nanyang Siang Pau

Jumaat malam saya dan suami sempat menghadiri Majlis Makan Malam sempena sambutan ke-85 tahun akhbar Nanyang Siang Pau; akbar masyarakat Cina yang telah wujud sebelum zaman kemerdekaan lagi. Pihak PAS telah diundang khas bagi memeriahkan lagi program sambutan yang diadakan.

Majlis turut dihadiri oleh Pesuruhjaya pas N.S, Sdr Zulkifli Omar, Tim Pesuruhjaya – Sdr Zakaria khalim, Sdr Lutfi, Pengerusi Kelab Penyokong - Sdr Yau dan beberapa orang wakil Pas N.S. Terdapat lebih 1000 orang tetamu yang hadir dan kehadiran kami agak ketara kerana yang saya dapati hanya 1 meja sahaja yang dihadiri oleh orang orang Melayu Islam. Apa yang menarik pada malam tersebut ialah siaran multimedia yang menerangkan sejarah akbar Nanyang Siang Pau yang telah wujud sebelum merdeka lagi iaitu pada tahun 1923.

Turut dimuatkan tentang akhbar Nanyang Siang Pau yang menjadi media penting melaporkan peristiwa sewaktu perang dunia ke-2, peristiwa tanah Melayu di bawah jajahan Jepun, zaman komunis sehingga Malaysia mendapat kemerdekaan. Apa yang menarik, akbar ini begitu dekat di jiwa masyarakat Cina sama ada di peringkat generasi muda mahupun golongan warga emas. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan oleh pihak Pengurusan akhbar Nanyang Siang Pau untuk membantu golongan yang memerlukan disamping mengekalkan budaya tulisan Cina di kalangan masyarkat Cina. Akhbar ini turut mengadakan aktiviti di sekolah-sekolah Cina bagi memupuk semangat membaca dan menyintai tulisan Cina di kalangan generasi muda yang sewajarnya dicontohi oleh bangsa Melayu.

Apa yang pasti, dikalangan masyarakat Melayu; masih ramai yang tidak boleh membaca tulisan jawi kerana tiada lagi akhbar yang mampu mempertahankan tulisan jawi ini yang menjadi warisan penting kepada masyarakat Melayu.


Tahniah saya ucapkan kepada pihak Nanyang Siang Pau; media arus perdana yang terus mempertahankan kredibilitinya memberi liputan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira fahaman politik dan agama.

No comments: