Sunday, June 29, 2008

Tetamu dari Seberang


Alhamdulillah, bertambah lagi saudara kami apabila Sabtu petang kami menerima kunjungan tetamu dari Seberang. Pembantu kami, kak Hamidah memaklumkan ada saudaranya akan datang ke Malaysia dan ingin sekali bertemu dengannya. Pada permulaanya, Kak Midah agak keberatan untuk bertemu kerana baginya tidak kena cara seorang pembantu rumah menjemput saudara-mara datang ke rumah majikan.

Bagi kami tiada masalah kerana dalam Islam semua tetamu perlu diraikan sebaik yang mungkin . Tetamu datang membawa rezeki kepada tuan rumah. Pada permulaan kami ingatkan hanya satu keluarga namun tidak sangka suka apabila yang hadir adalah 3 keluarga. Bila dah lama berkenalan, tidak sangka Kak Midah ada saudara jauh yang tinggal di Klang yang merupakan seorang pendakwah bebas dan juga kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor. Ya Allah, bertambah lagi saudara kami. Kami turut di jemput untuk ke Medan menziarahi keluarga disana. Lega hati saudara mara kak Midah dan berbunga gembira hati Kak Midah bila dapat bertemu dengan adiknya dan ibu tirinya.

Kami turut memaklumkan kepada mereka semua kak Midah akan pulang bercuti ke Medan pada Hari Raya nanti. Sekurang-kurangnya terubat rindu kak Midah kepada anak-anaknya yang telah ditinggalkan hampir 8 bulan. Moga Allah beri ketabahan dan kesabaran kepada kak Midah untuk bekerja dengan kami yang sentiasa sibuk ini. Kak Midah ucapkan terima kasih kepada suami saya yang sanggup terima kehadiran saudara maranya. Bagi saya, kami yang sepatutnya ucapkan terima kasih kepada Kak Midah kerana menjaga anak kami dengan baik dan dengan sabar apabila sering ditinggalkan hingga larut malam.
Moga ukhuwah dan ikatan kasih ini berkekalan.

Ulangtahun ke-85 Nanyang Siang Pau

Jumaat malam saya dan suami sempat menghadiri Majlis Makan Malam sempena sambutan ke-85 tahun akhbar Nanyang Siang Pau; akbar masyarakat Cina yang telah wujud sebelum zaman kemerdekaan lagi. Pihak PAS telah diundang khas bagi memeriahkan lagi program sambutan yang diadakan.

Majlis turut dihadiri oleh Pesuruhjaya pas N.S, Sdr Zulkifli Omar, Tim Pesuruhjaya – Sdr Zakaria khalim, Sdr Lutfi, Pengerusi Kelab Penyokong - Sdr Yau dan beberapa orang wakil Pas N.S. Terdapat lebih 1000 orang tetamu yang hadir dan kehadiran kami agak ketara kerana yang saya dapati hanya 1 meja sahaja yang dihadiri oleh orang orang Melayu Islam. Apa yang menarik pada malam tersebut ialah siaran multimedia yang menerangkan sejarah akbar Nanyang Siang Pau yang telah wujud sebelum merdeka lagi iaitu pada tahun 1923.

Turut dimuatkan tentang akhbar Nanyang Siang Pau yang menjadi media penting melaporkan peristiwa sewaktu perang dunia ke-2, peristiwa tanah Melayu di bawah jajahan Jepun, zaman komunis sehingga Malaysia mendapat kemerdekaan. Apa yang menarik, akbar ini begitu dekat di jiwa masyarakat Cina sama ada di peringkat generasi muda mahupun golongan warga emas. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan oleh pihak Pengurusan akhbar Nanyang Siang Pau untuk membantu golongan yang memerlukan disamping mengekalkan budaya tulisan Cina di kalangan masyarkat Cina. Akhbar ini turut mengadakan aktiviti di sekolah-sekolah Cina bagi memupuk semangat membaca dan menyintai tulisan Cina di kalangan generasi muda yang sewajarnya dicontohi oleh bangsa Melayu.

Apa yang pasti, dikalangan masyarakat Melayu; masih ramai yang tidak boleh membaca tulisan jawi kerana tiada lagi akhbar yang mampu mempertahankan tulisan jawi ini yang menjadi warisan penting kepada masyarakat Melayu.


Tahniah saya ucapkan kepada pihak Nanyang Siang Pau; media arus perdana yang terus mempertahankan kredibilitinya memberi liputan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira fahaman politik dan agama.

Thursday, June 26, 2008

Iman Mutiara

Hari hampir Maghrib tapi aku masih belum tiba ke destinasi. Sempat aku mendengar lirik lagu Raihan yang cukup menyentuh perasaan. Maha SuciMu Ya Allah yang masih memberikan aku merasai nikmat Iman dan Islam yang mengajar aku erti kesabaran dan ketabahan.


Iman adalah mutiara
Di dalam hati manusia
Yang meyakini Allah
Maha Esa, Maha Kuasa

Tanpamu iman bagaimanalah
Merasa diri hamba padaNya
Tanpamu iman bagaimanalah
Menjadi hamba Allah yang bertaqwa

Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual-beli
Ia tiada di tepian pantai

Walau apapun caranya jua
Engkau mendaki gunung yang tinggi
Engkau berentas lautan api
Namun tak dapat jua dimiliki
Jika tidak kembali pada Allah

Jika tidak kembali pada Allah

Thursday, June 19, 2008

Makan Sedulang

"Ya Allah, kenapa layan anak makan macam anak kucing" tegur mak saudara bila lihat anak-anakku di hidangkan dengan nasi dalam dulang. "Kan ada pinggan..." tegur beliau lagi. Kami dah biasa makan macam ni. Bila ada tetamu yang tidak faham, payah juga untuk menerangkannya. Masih ku ingat di universiti dahulu, ada rakan sejamaah yang tidak mahu makan bersama kerana tidak biasa dengan keadaan ini. Makan sedulang/ makan setalam pada zaman ini tampak aneh pula sedangnya ianya merupakan sunnah Nabi.

Memandangkan masaku yang cukup terhad bersama anak-anak dan suami, aku cuba pastikan amalan sunnah ini dapat dihidupkan sedapat yang mungkin. Lauk tak perlu masak banyak-banyak dan makan pun mudah kenyang meskipun nasinya tidak sebanyak mana.Jika kita renung akan sejarah, Rasulullah saw tidak pernah makan secara sendirian.
Sabda Baginda s.a.w yang bermaksud: “Makanlah secara berjemaah dan bacalah Bismillah, nescaya kamu akan beroleh keberkatan.”

Dalam mewujudkan semangat bermasyarakat atau berjemaah, Islam juga menggalakkan agar kita makan bersama-sama dengan saudara yang lain. Makan secara berjemaah akan mewujudkan perhubungan yang baik. Lebih-lebih lagi kalau makan satu dulang atau hidang ini dapat dijadikan amalan dalam keluarga kerana ia boleh mengeratkan hubungan dalam keluarga.Rasa seronok bila boleh suapkan anak-anak dan suami.Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w sering makan sedulang dengan anggota keluarganya. Allah s.w.t menjanjikan keberkatan kepada keluarga yang makan bersama. Sayangnya, budaya makan bersama ini beransur-ansur pupus.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila dihidangkan makanan, maka makanlah daripada makanan yang dekat dengannya dan janganlah dia mengambil makanan daripada orang yang di sebelahnya.”

InsyaAllah, marilah sama-sama kita hidupkan sunnah Nabi ini.Disamping mendapat pahala, hubungan kekeluargaan juga bertambah erat dan dipenuhi dengan kasih sayang. Jom hidupkan sunnah Nabi!

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mengamalkan satu daripada sunahku dalam keadaan ramai manusia yang meninggalkannya, maka akan diberikan kepadanya seratus pahala syahid.”

Dana Pinjaman/Pembiayaan Agro Bank

Taklimat bersama Angro Bank semalam sungguh bermanfaat. Setiap orang mempunyai minat dalam sektor pertanian, ternakan dan perladangan, perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk membangunkan ekonomi ummah. Antara pakej pinjaman yang ditawarkan oleh Agro Bank dengan kadar 3.75-4.00% ialah;

Dana Pinjaman/Pembiayaan Yang Disediakan
•Tabung untuk makanan (3F)
•Kredit Perusahaan Kecil dan Sederhana (TIKS)
•Skim Modal Usahawan Tani (MUST)
•Skim Kredit Pengeluaran Makanan (SKPM)
•Skim Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian (MPPB)
•Skim Beliatani
•Skim Tanam Semula Kelapa Sawit (TASKS)
•Skim Usahawan Tani Komersil Siswazah (SUTKS)

Tabung Untuk Makanan (3F)
Objektif - Menggalakkan pelaburan di sektor pengeluaran makanan utama

Had Pembiayaan

•90% daripada kos projek maksimum RM 5 juta
•Pinjaman: - minimum RM 10,000 - maksimum RM 5 juta

Kelayakan Peminjam -Institusi syarikat hakmilik warganegara Malaysia

Skim Usahawan Tani Komersil Siswazah.
Objektif - Mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah dan mewujudkan siswasah tani komersil

Had Pembiayaan

•Had maksimum RM 50,000
•Sehingga 100% daripada kos projek Kelayakan Peminjam
•Siswazah yang menggangur yang berminat dalam sektor pertanian
•Menjadikan pertanian sebagai kerjaya separuh masa

Maklumat lanjut sila hubungi ,Mohd Nasaruddin Baharuddin Eksekutif Penyeliaan PinjamanAgro Bank Cawangan Seremban Tel: 06 7639541

Nota: Muslimat akan anjurkan sesi ke-2 untuk taklimat yang seterusnya. Peluang ini harus direbut sewajarnya terutamanya kepada generasi muda yang masih menganggur dan perlukan modal untuk pertanian.

Sembuhkan adikku Mohd Nor Affendi

18 Jun, jam 10.15 pagi saya menerima panggilan telefon kecemasan dari Rembau. Mak menangis2x suruh balik. Adik buat hal, masih tak dpaat kawal diri sehingga membahayakan keselamatan. Suami ada audit hari nie. Nak berkejar balik naik komuter ke Seremban, pasti ambil masa yang lama.

Saya cuba telefon adik yg bekerja di PGA, Cheras. 'Angah minta Wari dapat balik segera. Angah cuba minta cuti 'emergency' hari ni. Kena bantu adik yang makin kritikal ni. Kesian mak yang ada penyakit darah tinggi.' Risau juga kalau mak pula yang jatuh sakit sebab susah hati kenangkan adik yang dah 3 bulan sakit.

Jam 12.30 kami tiba di Rembau. Saya cepat2x call semula Ustaz Ahmad yg berada di Sungai Buluh. 'Kami nak datang sekarang Ustaz, adik saya makin sukar dikawal. Ayah pula dah macam nak mengalah'. Selepas Zuhur kami sekeluarga bertolak ke Sungai Buluh berjumpa Ustaz Ahmad. Masuk kali nie dah 3 kali kami ke sana. Ustaz menasihati kami sekeluarga supaya bersabar dengan ujian Allah ini. 'InsyaAllah, boleh sembuh. Semua penyakit datang dengan izin Allah. Kita kena banyak bersabar dan berdoa.'

Selepas berurut dan diajarkan beberapa ayat dari surah Al -Anam, adik mula dapat kawal diri. Adik tak mahu bercakap dan banyak mendiamkan diri. Saya kurang arif bab-bab terkena sihir dan sebagainya ini. Saya berdoa moga Allah mudahkan urusan kami sekeluarga. Moga Allah sembuhkan adik yang menjadi kesayangan mak dan ayah. Satu yang sukar untuk terima dimana dalam keadaan adik suka berdiam diri seolah2x lupa siapa dirinya, adik tak pernah lupa untuk solat. Sejak kecil sehingga sekarang walaupun sakit; bila masuk sahaja waktu solat, adik akan terus solat. Tak pernah aku lihat adik meninggalkan solatnya. Moga Allah sembuhkan adik secepat yang mungkin.

Monday, June 16, 2008

TAKLIMAT USAHAWAN BERSAMA AGRO BANK & FAMA

Anda ingin memulakan perniagaan tetapi tiada modal? Anda ingin mendapatkan taklimat untuk memulakan pertanian dan menceburi sektor perladangan? Anda memerlukan khidmat nasihat kewangan?

Mari bersama kami untuk mendengar 'Taklimat Usahawan bersama Agro Bank & FAMA' dimana mereka akan memberi garis panduan kepada anda untuk membuat pinjaman dari Agro Bank dengan MUDAH dan mendapatkan bantuan dari pihak FAMA.

Tarikh: 19 Jun 2008 (Khamis)
Masa: 9.15 malam
Tempat: Dewan D'Ark, Taman Sri Kaseh
Anjuran: Muslimat Pas Rembau

Maklumat lanjut sila hubungi Pn Wani (o13-3851202) atau SU kerja Pn zarina013-3098779. Sila sebarkan.

Adik Sangeri tanam cita-cita menjadi doktor

Malam tadi sempat berbual dengan adik Sangeri sewaktu program bersama masyarakat India di Taman Permata. Adik Sangeri, seorang pelajar di Sek Men Rantau dan tinggal di Kampung Ulu Rantau bersama nenek dan keluarganya. Ayahnya bekerja sebagai seorang pemandu lori manakala ibunya bekerja di salah sebuah kilang di Rahang.
Adik Sangeri bersama neneknya
Selaku anak sulung diantara 3 orangadik-beradik, adik Sangeri memikul amanah yang cukup tinggi untuk membantu keluarganya pada masa hadapan. Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang doktor dan membantu keluarga dan masyarakat India yang ditinggal di kawasan ladang . Menurut beliau, semenjak minyak naik; tambang ke sekolahnya turut naik iaitu dari RM27 sebulan ke RM32 sebulan. Dia perlu berjimat dalam setiap perbelanjaan sekolahnya.
Saya turut memberikan kata-kata semangat kepada adik Sangeri supaya terus berusaha walaupun diuji dengan masalah kesusahan dan kepayahan. Sekadar berkongsi cerita dengannya dimana satu ketika dahulu saya turut menoreh getah, mencari sayur kampung dan menimba ikan di lubuk untuk membantu keluarga mencari rezeki. Kesusahan,kepayahan dan kemiskinan inilah yang menjadikan kita lebih tabah dan yakin. Bila dikurniakan rezeki dan kesenangan, kita perlu ingat bahawa semuanya adalah milik Allah dan kita perlu merenung semula sejarah kita sebagai satu motivasi diri agar tidak mudah lupa dengan apa yang kita ada.
Doa saya agar adik Sangeri berjaya dalam pelajarannya dan mencapai cita-citanya satu hari nanti. Ramai lagi pelajar seperti adik Sangeri yang mempunyai azam yang kuat untuk belejar meskipun diulit kesusahan.Moga Allah permudahkan urusan mereka...

Bengkel Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak taska

Semalam saya berjumpa dengan Pn Rosnah (bertudung biru) yang merupakan salah seorang ahli Persatuan Pengusaha taska di Negeri Sembilan. Menurut beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang aktif melaksanakan Bengkel Kursus Asas TASKA untuk kaum wanita dan ibu tunggal dengan bayaran hanya RM10 untuk 5 hari kursus di Hotel Sri Malaysia.

Bengkel Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Taska Rumah iaitu bengkel untuk jurulatih yang akan melatih ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah untuk mengusahakan Taska Rumah di dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
Peserta yang menghadiri Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Taska Rumah selama 5 hari dengan bayaran hanya RM10 akan diberi latihan untuk menjadi Pengusaha Taska Rumah dengan bimbingan mentor yang dilantik selama 6 bulan. Kepada yang layak boleh membuat pemohonan melalui Persatuan Pengasuh Atau Persatuan Taska Negeri di seluruh Malaysia. Kursus yang ditawarkan meliputi kaedah pengendalian taska di rumah dan ianya terbuka kepada semua kaum wanita terutamanya ibu tunggal yang berminat melaksanakan aktiviti ini.
Kursus 5 hari dibiayai sepenuhnya termasuk penginapan, makan minum dan bahan kursus. Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Pn Rosnah di no tel 016-9792367. Tempat adalah terhad dan diharapkan semua wanita dan kaum ibu dapat merebut peluang ini.

Tarikh kursus terdekat
14 - 19 Julai 2008
25,26,27 Julai & 1,2 Ogos 2008

Sunday, June 15, 2008

Kursus Tau Fu Fa Siri -2

Alhamdulillah, semlaam seramai 20 org muslimat telah menghadiri Kursus membuat air soya dan tau fu fa yang dianjurkan oleh muslimat dun Paroi secar percuma di perkarangan Surau Taman Desa Ixora.

Kaum ibu ini penuh kusyuk mengikuti demostrasi membuat air soya yang diajar oleh Cik Nor
Kursus ini telah diajar oleh Cik Norizan yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur. Menurut Cik Nor, perniagaan air soya dan tau fu fa ini sungguh menguntungkan dimana dengan modal Rm1.50 untuk 1 kg kacang soya mampu menghasilkan 10liter air soya atau 10 kg tau fu fa. Dengan menggunkan teknologi mesin khas ini yang kian mendapat sambutan di kalangan wanita dan ibu tunggal di Kedah, mesin ini mampu memproses kacang soya 1kg dengan hanya 10 minit sahaja.

Banyak petua yang perlu diamalkan untuk menghasilkan kualiti soya yang baik. Nampakanya kursus ini perlu diteruskan lagi kerana permintaan yang cukup tinggi dikalangan kaum wanita yang tidak berkesempatan untuk hadir.Kursus yang seterusnya - Siri ke-2 akan diadakan seperti berikut;
Tarikh: 21 Jun 2008
tempat: Pasti Hidayah, Apartment Seroja, Taman Tasik jaya
Masa: 2.30 petang
Semua wanita dijemput hadir untuk menambahkan ilmu dalam masakan. Selamat mencuba!

Wednesday, June 11, 2008

Mengapa Aku Berjuang?

Dulu saya memang minat sangat menulis dan mengarang sajak. Cuma bila semakin sibuk dengan tugas harian, minat ini berlalu begitu sahaja tanpa sempat dipupuk dan diasah. Baru-baru ini saya terjumpa semula sajak yang saya cipta pada tahun 1998...ketika menuntut di 'U'. sama-sama untuk direnungkan kembali bagi diri yang mudah alpa.


Pabila jiwa raga diletakkan di jalan dakwah ini
Lantas bertanyalah diri...
MENGAPA AKU MESTI BERJUANG UNTUK AGAMA ALLAH INI?
Jawab hati.....
Terlalu banyak nikmat yang Allah beri
Terlalu banyak rahmat yang aku kecapi
Terlalu banyak budi yang telah kurasai
Terlalu lama kiranya aku dihidupkan di dunia ini
Namun...tiada apa yang dapat ku korbankan untuk agama suci ini
Kecuali berkorban diri untuk Ilahi...
Lantas tersentak diri....


MENGAPA AKU MESTI BERJUANG?
Jawab hati...
Aku mujahid...Mujahidah pilihan Tuhan
Diberikan hidayah dan kekuatan
Diberikan nur Iman nur Islam
Bangkit meleraikan segala kepincangan
Bangkit untuk meruntuhkan tembok kejahilan
Lantaran aku adalah pejuang akhir zaman...
mahu tak mahu...pasti dihujani 1001 tribulasi dan dugaan
Bertanya lagi diri....

UNTUK APA AKU BERJUANG?
Jawab hati...
Aku berjuang tanda cintakan agama ini
Aku berjuang tanda sayangkan ummah ini
Aku berjuang tanda kasihkan tanah air ini
Tanda kesyukuran pada Ilahi
Tanda terima kasih yang tidak terperi
lantaran aku masih bernafas hingga ke saat ini
Meskipun detik dosa ligat berputar di ulit usia sebegini

UNTUK APA AKU HARUS BERJUANG?
Jawab diri...
Aku berjuang membela agamaku
Aku berjuang membela tanahairku
Aku berjuang membela keluargaku
Aku berjuang membela saudara-saudaraku...
Andainya aku gugur.....
Moga gugur nya bersama laungan syahid
idaman bagi hati setiap pejuang
Ayuhlah...Mujahid....Mujahidah sejati
Tiada apa yang perlu engkau gentarkan...engkau gusarkan
Keringat, kuasa, kudrat, harta , lisan.....bisa kau gunakan
Yakinlah..janji Allah pasti untukmu.....andai dirimu ikhlas dalam perjuangan
Bangkitlah...ayuhlah teruskan jihad
Entah esok..entah lusa...ajal pastikan tiba
Berjuanglah selagi hayat masih ada
Biarpun sekelumit cuma
ALLAHUAKHBAR......ALLAHUAKHBAR.....ALLAHUAKHBAR....

*adaptasi semula UPTA 98/99

Konflik?

Bila diterjah konflik...
usah terus berduka dan terlara
cabaran dikutip satu persatu
kata dihitung, direnung
bahasa dilontar pastikan yg enak
diri pastikan berani
hati pastikan murni
suara tak perlu ditinggi
budi bahasa perlu dijagai

Bila diselubungi konflik...
mohon pada Yang ESA
moga dapat kekuatan
moga dianugerah kesabaran
moga dilimpahi kerahmatan
bukan kita penentu kata hati
bukan kita pengubah jati diri
semuanya kehendak Yang Kuasa
moga konflik melanda kian reda....

Tuesday, June 10, 2008

Motivasi ....Ujian

Allah berfirman bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami tetap akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang yang berjuang dan bersabar daripada kalangan kamu dan agar Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita mengenai keadaan kamu."
(Surah Muhammad: ayat 31)

Firman Allah lagi bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan."
(Surah Al-Ankabut: ayat 2)

Rasulullah saw bersabda, maksudnya: "Siapa yang ingin bersabar, Allah memberikan kesabaran kepadanya. Dia tidak memberikan seseorang yang terbaik dan terluas daripada sabar."

Allah berfirman bermaksud: "Jika kamu bersabar dan bertakwa, sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan." (Surah Ali Imran: ayat 186)

Allah berfirman lagi, bermaksud: "Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Mereka itulah yang mendapat berkat yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk." (Surah Al-Baqarah: ayat 155-157)

Harap sahabat-sahabat dapat doakan keadaan adik saya "Mohd Nor Affendi bin Ahmat" yang telah 3 bulan sakit. Moga Allah menyembuhkan beliau dan memberi kekutan kepada kami sekeluarga menghadapi ujian ini.

Wanita Sihat

Bila minyak naik..harga barang pasti naik. Bila harga barang naik, perbelanjaan seisi rumah turut bertambah dan para isteri terpaksa keluar bekerja untuk membantu meringankan beban suami. Tugas seorang wanita yang bekerja seperti saya bukan setakat di tempat bekerja, malah terus berlarutan sehingga ke rumah. Kesihatan diri perlu dijaga bagi memastikan urusan rumahtangga dapat diuruskan sebaik yang mungkin. Jika anak tidak sihat, maka ibu akan main peranan penting. Jika suami tidak sihat, isteri pula main peranan. Namun jika ibu atau isteri tidak sihat, seisi rumah akan manjadi tidak sihat.

Lantaran itu, semua kaum wanita perlu menjaga kesihatan agar sentiasa tampak bertenaga walau dimana sahaja mereka berada. Disamping kekuatan dalaman, kekuatan luaran juga perlu difikirkan bersama. Berikut ada buku yang menceritakan tentang tips kesihatan wanita sebagai panduan.


Tajuk: 22 Tips Kesihatan WanitaPengarang: Amina Hj. Noor

Semoga buku ini dapat dijadikan panduan dalam mengekalkan kesihatan tubuh yang berpanjangan. Seterusnya mampu menjalankan kewajipan beribadah terhadap Ilahi, insya Allah.

Wednesday, June 4, 2008

Keranamu petrol..lunturnya kasih sayang

"Bila nak balik kampung? mak tak sihat tu...Jenguk-jenguklah mak." aku cuba bertanya khabar kepada adik-adikku yang tinggal di KL " bukan taknak baliklah angah. Faham-faham ajelah... duit minyak, duit tol lagi. Nanti nak balik RM100 bukan cukup pun. Aku kerja seorang eje...Bini aku tak kerja. nak tanggung susu anak lagi. Aku pun sesak juga. Hujung bulan,ngam-ngam aje belanja"


Harga petrol di Malaysia berbanding negara-negara lain di dunia.

Bila memikirkan kenaikan petrol yang mendadak ini, aku yakin bukan emak dan ayah aku sahaja yang rindu dengan kepulangan anak-anak malah semua warga emas yang lain. Bebanan kewangan untuk mereka yang bekerja makin terasa. Aku yang selalu berulang alik ke KL - Seremban ini pun sering terasa kepayahannya. Bayangkan insan lain yang bekerja dengan kadar gaji yang rendah. Mana mungkin mereka mampu menanggung ibubapa dikampung. Kerana petrol yang tinggi ada yang sanggup tak balik kampung. Ada yang sanggup ikat perut. Ada yang sanggup makan maggie kerana nak pastikan ada duit minyak untuk motorsikal dan kereta yang digunakan untuk bekerja.
Sampai bila harus begini...Samapai bila kasih ibu bapa terpisah dek petrol. Sampai bila anak2x di rumah kesepian bila ibubapa terlalu sibuk bekerja dek petrol. Sampai bila?

Keluhan, kerana PETROL

cahaya mataku keresahan
suhu badannya kepanasan
menanti ummi yang tidak kelihatan
dari pagi hingga ke malam
nun di KL, menyusuri Seremban

duhai anak...
ummi masih di perjalanan
terhenti dek kehangatan kenderaan
berpusu-pusu manusia di perhentian
mendapatkan bekalan yang kehabisan

hampir sejam perjalanan terhenti
sesak, padat aku ternanti-nanti
bilakah dapat ku jejakkan kaki
memeluk si kecil , si buah hati
sabarlah, kejap lagi ummi kembali

harga petrol melambung tinggi
khabar berita di kampung meresahkan hati
bonda tak sihat, ku resah sekali
hendak ku lari menjenguknya bilakan pasti
jalan sesak sana sini, tak henti-henti
pasti aku kan terkandas lagi

Ya Allah, ampunilah kami, bantulah kami
sembuhkanlah insan-insan yang ku kasihi
bantulah hamba-hambaMu yang kesempitan
bantulah hamba-hambaMu yang kedhaifan
hidup mereka pasti tertekan
petrol naik...selepas ini pula makanan
mereka teraniaya Ya Allah
kabulkan doa rakyatyang ditekan, rakyat yang ditindas
moga di sana ada ruang keinsafan, ruang perubahan
kerana tangan...binasalah badan
angkara petrol jadi penangan....bila kuasa masih di tangan

nurmutiara, ns

Monday, June 2, 2008

7 kalimah

1. Mengucap "Bismillah" pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. Mengucap "Alhamdulillah" pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

3. Mengucap "Astagfirullah" jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.

4. Mengucap "Insya Allah" jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.


5. Mengucap "La haula wala kuwwata illa billah" jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

6. Mengucap "Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun" jika menghadapi dan menerima musibah.

7. Mengucap "La ila ha illallah Muhammad dur Rasulullah" sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa, karena sudah biasa.


Mutiara Kata: "Kekayaan yang hilang dapat dikejar kembali dengan kerajinan dan jimat cermat. Kesihatan yang hilang boleh direbut kembali dengan ubat-ubatan. Akan tetapi waktu yang hilang pasti tidak akan kembali"

Ayam daging kampung?

Pernahkan anda mendengar tentang ternakan ayam daging ala kampung? menternak ayam daging dengan kaedah menternak seperti ayam kampung ? Buat masa ini ayah saya sedang menjalankan ternakan 'ayam daging ala kampung' di Rembau bagi memenuhi masa lapang beliau selepas bersara.

Kaedah yang ayah saya gunakan bagi menternak ayam daging ini cukup berbeza berbanding ayam daging yang lain dimana kami menggunakan kaedah tradisional sepertimana menternak ayam kampung. Selepas cukup umur sebulan, ayam daging ini tidak lagi dikurung didalam reban. Ini bermakna, ayam ini boleh bebas menjalani kehidupan normal seperti ayam-ayam lain yang berada di sekeliling kampung. Ayam ini boleh mengais, mencari makanan sendiri disamping jagung dan dedak yang dibekalkan sebagai makanan tambahan.

Kita juga dapat memastikan ayam ini sihat dan tidak berpenyakit dimana mereka tidak perlu duduk di dalam reban secara berhimpit-himpit. Pada waktu yang sama ayam-ayam ini bebas berkeliaran di sekeliling rumah dan berinteraksi dengan alam sekeliling. Ayam-ayam ini akan hanya masuk ke dalam reban menjelang waktu malam bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Ayah saya mensasarkan untuk menjual ayam-ayam ini bagi pasaran Ramadhan dan Hari Raya nanti dengan harga RM6.00 sekilo. Bagi sahabat2x yang berminat untuk mendapatkan 'ayam daging kampung' ini bolehlah menghubungi saya.

Sunday, June 1, 2008

10 Tokoh Ibu di rai

31 Mei 2008 – Lebih 100 orang ibu telah hadir bagi memeriahkan Sambutan Hari Ibu 2008 bagi peringkat Dun Paroi yang telah dianjurkan oleh Perkumpulan Pertubuhan Perempuan (PPP) / WI Tasik Jaya.Pelbagai acara menarik disediakan bagi meraikan semua kaum ibu dan wanita di sekitar Dun Paroi khususnya di Tasik Jaya.
Antara hadirin yang hadir

Antara program yang mendapat sambutan ialah Forum “Ibu Berjasa, Masyarakat Sejahtera’, Pertandingan Mewarna, Cabutan Bertuah Ibu dan juga Anugerah Tokoh Ibu 2008.

YB Taufek menyampaikan tanda hati kepada SU PPP Daerah Seremban, Pn Hajjah Zainab.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Setiausaha PPP, Daerah Seremban Pn Hajah Zainab bt Baharom manakala upacara penutup telah dilaksanakan dengan jayanya oleh YB Hj Mohamad Taufek Abdul Ghani, ADUN Paroi.
Pengerusi PPP Tasik Jaya,Pn Norliyah (bertudung putih)

Menurut Pengarah Program iaitu Pn Norliyah; program ini merupakan program pertama PPP Tasik jaya untuk bersama-sama meraikan ibu di sekitar Dun Paroi. Menurut beliau lagi, Hari Ibu ini sepatutnya di sambut setiap hari kerana pengorbanan dan kasih ibu tidak bermusim bahkan tetap kekal sepanjang hayat. Dalam majlis penutup, YB Hj Mohamad Taufek memuji langkah yang diambil oleh PPP Tasik Jaya yang telah berjaya mengatur program yang cukup baik untuk para wanita. Beliau menyeru kepada mana-mana NGO yang lain agar saling bekerjasama dan melaksanakan program berterusan untuk masyarakat.

Salah seorang penerima Anugerah Tokoh Ibu Anggung, Pn Azizah

Beliau turut berbesar hati menyampaikan Anugerah 10 tokoh ibu kepada para pemenang iaitu “ Ibu Anggun, Ibu Bestari, Ibu Cemerlang, Ibu Ekonomi, Ibu Kreatif, Ibu Mithali, Ibu Penyayang, Ibu Prihatin, Ibu Tabah dan Ibu Sejati.Semoga program ini akan menjadi program tahunan PPP Tasik Jaya dan menjadi satu titik permulaan menghargai seluruh wanita khususnya semua ibu di Dun Paroi. Hargailah ibu, isteri dan para wanita yang telah bnayak berjasa untuk kesejahteraan masyarakat. Selamat Hari Ibu!


Semua AJK PPP Tasik Jaya sempat bergambar bersama YB Dun Paroi

YB Dun Paroi sempat memotong kek dan menghadiahkannya untuk AJK PPP Tasik Jaya.

Dilaporkan oleh;
Naib Pengerusi PPP Tasik Jaya