Friday, November 21, 2008

Pemisah 6 tirai besi


Buat pertama kali diusia 32tahun saya berpeluang beramah mesra dan berbual dengan 45orang banduan dalam program “Masih Ada Yang Sayang” yang dianjurkan oleh Mahasiswi Fakulti Pengajian Islam UKM dan Jabatan Penjara Wanita , Kajang. Alhamdulillah, wakil Nurdeen Management telah dijemput untuk memberi ceramah kepada banduan wanita dalam sesi tersebut. Dari satu pintu ke satu pintu dan akhirkan setelah melalui 6 tirai besi, barulah saya sampai ke bilik khas untuk program tersebut. Sedih, pilu, sayu apabila saya memandang wajah-wajah banduan wanita dihadapan saya ketika itu. Kesemua mereka ibarat adik, teman sebaya,kakak dan ibu kepada saya. Wajah keibuan dan keinsafan jelas terpancar di wajah mereka. Apabila saya sentuh tentang tanggungjawab wanita sebagai seorang ibu, lantas ceritakan pengalaman sebagai seorang ibu….di waktu itu kami sama-sama tersedu-sedu. Saya rindukan anak-anak yang telah 5 hari ditinggalkan dan saya dapat gambarkan perasaan mereka yang telah berbulan malahan bertahun tidak menatap wajah si anak.

Selepas program, kami dibawa melawat sekitar penjara dan juga melawat bilik-bilik kemahiran kreatif yang diusahakan oleh banduan wanita seperti kraftangan, batik, masakan, spa, jahitan dll. Saya cukup tertarik dengan hasil sulaman bakul dan kraftangan yang dibuat dari keratan majalah terpakai. Sempat juga saya membeli sebuah pasu berharga RM7 sebagai kenangan cenderahati yang diusahakan sendiri oleh banduan wanita disini. Ada juga produk frozen food dan menurut mereka kesemua hasil produk tersebut di pasarkan di pasaraya Mydeen. Sebelum berpisah, kami bersalaman dan berpelukan. Saya mendoakan agar semua banduan wanita ini beroleh hidayah, kekuatan dan kesalabaran menghadapi dugaan sepanjang di penjara. Didoakan juga agar mereka beroleh kecekalan hati dan ketabahan berhadapan dengan keluarga dan masyarakat apabila keluar kelak. Tahniah kepada adik2x mahasiswi Pengajian Islam UKM yang telah berjaya menganjurkan program ini. Terima kasih kepada pegawai dan warden penjara Pn Wahida, Pn Atiqah dan Ustazah Shidah yang telah banyak membantu banduan-banduan di sini memahami dan mempelajari agama Islam serta mendekatkan diri kepada Allah. Semoga Allah membalas jasa kalian semua yang berusaha berdakwah dan menyedarkan banduan disini. Satu pengalaman berharga yang tidak mungkin saya lupakan.

No comments: