Tentu kita pernah mendengar, kata orang tua, ‘menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’? Mak sayang anak perempuan daripada anak lelakikan? Kadang kala adik lelaki suka mengusik mak.
Di dalam keluarga kami, memang anak perempuan lebih rapat dengan mak. Tambahan pula mak akan cari anak-anak perempuan bila mak ada masalah. Kenapa anak perempuan lebih dekat dihati mak berbanding anak lelaki. Adakah anak perempuan lebih memahami mak berbanding anak lelaki. Tapi saya cukup hairan pabila ada ibubapa yang mengeluh kerana semua anaknya perempuan. Apa salahnya anak perempuan.... Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka, Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka."
Seorang lelaki bertanya, "Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?"
Sabda baginda, "Juga untuk dua anak perempuan."
Seorang lelaki berkata, "atau untuk seorang wahai Rasulullah?"
Rasulullah SAW menjawab, "Juga untuk seorang." (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Seorang perempuan telah datang berjumpa aku dengan membawa dua orang anak perempuannya, lalu dia meminta sesuatu daripadaku. Pada saat itu tidak ada makanan di rumah aku kecuali sebiji kurma. Tanpa berlengah-lengah aku terus memberikannya. Perempuan tersebut mengambil kurma yang diberikan lalu membahagikan kepada dua orang anak perempuannya dan dia tidak merasainya walaupun sedikit. Kemudian dia berdiri dan keluar bersama dengan dua orang anak perempuannya. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w pulang aku sampaikan cerita tersebut kepada baginda. Mendengar peristiwa tersebut baginda bersabda: Sesiapa yang mendapat cubaan dari anak-anak perempuannya, tetapi dia melakukan kebaikan terhadap mereka, nescaya mereka akan menjadi penghalang baginya dari azab Neraka.
No comments:
Post a Comment