Saturday, May 2, 2009

Tetamu dari Terengganu





2 Mei, seawal jam 7.15pagi rombongan 1bas dari Jertih Terengganu tiba di Pasti Amal. Rombongan yang diketuai oleh Ustazah Maliah (Naib Ketua Muslimat Pas Kawasan Besut) yang juga merupakan isteri kepada Ustaz Husin Awang; disambut oleh YB Paroi Hj Mohamad Taufek dan isteri serta beberapa orang AJK dewan Muslimat Pas Kawasan Rembau.

Pada pagi itu, tetamu seramai 40orang dijamu dengan sarapan pagi dan berpeluang mendengar slot tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fuad Othman, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan. Semua tetamu berpeluang mendengar ucapan YB Paroi yang menceritakan serba sedikit perkembangan dan kondisi aktiviti Pas Kawasan Rembau dan Paroi khususnya.

Selepas itu para tetamu beramah mesra dengan pimpinan muslimat Pas Kaawasan Rembau yang hadir dan mendengar sedikit persembahan powerpoint. Kami juga berpeluang mendengar tazkirah daripada Ustazah Maliah yang memberikan suntikan semangat kepada penggerak di Dun Paroi agar tidak mudah mengalah, kecewa, bersedih, merajuk dengan setiap dugaan dan tribulasi.Beliau turut menceritakan kisah sejarah Nabi Yunus yang merajuk membawa hati sehingga diuji Allah dengan ditelan oleh ikan Nun.Selepas ujian itu barulah Nabi Yunus a.s. menyedari kesilapan diri dan bersemangat meneruskan dakwahnya kepada ummat pada masa itu.Tazkirah yang diberikan oleh Pn Maliah benar-benar berkesan di dalam jiwa kami. Biar apapun halangan, apapun ujian yang melanda; semoga Allah beri kekuatan kepada petugas-petugas di Paroi untuk terus istiqamah.InsyaAllah.


Menurut Ustazah Haznah, salah seorang pimpinan kawasan yang hadir; kesemua muslimat yang mengikuti rombongan ini adalah merupakan petugas sepenuh masa dalam PRK di KT,Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Mereka diraikan dalam rombongan ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam setiap PRK yang diadakan. Sewaktu bersalam dan memeluk erat setiap tetamu yang hadir, muslimat Rembau merasa bersemangat dan menumpang kekuatan daripada tetamu yang majoritinya golongan veteran yang telah lama berjuang di Terengganu. Wajah-wajah tabah mereka yang pangkatnya seperti ibu kita memberi inspirasi yang cukup bernilai.InsyaAllah, jika ada rezeki dan ruang masa; kunjungan kita ke sana amat dialu-alukan oleh mereka.

Lebih kurang jam 9.00 pagi semua ahli rombongan bertolak ke Nilai 3 untuk membeli belah sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka.Moga ukhuwah dan persaudaraan yang terjalin dalam masa 2 jam akan berpanjangan hendaknya. Amin.

No comments: