Sunday, April 19, 2009

Kita semua bersaudara

Selepas tamat ucapan penangguhan di Rembau, saya bersama Hjh Chee Bee terus ke Shah Alam bagi menghadiri Hi-Tea Wanita Pakatan Rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid di Seksyen 7. Kami tiba agak lewat juga iaitu sekitar jam 3petang. Disana saya sempat bersalaman dan bertanya khabar dengan beberapa orang pimpinan pusat seperti Mak Zah( Ust Azizah Khatib Mat), Dr Mariah, Senator Ubaidah, Ustz Zuraidah, Aiman Athira dan Dr. Halimah.Pn Hjh Chee Bee,Pn. Maznah dan anaknya Intan serta Pn. Hanom - antara muslimat NS yang hadir

Dr. Halimah bertanyakan kenapa saya menghilang diri dari lajnah beliau LPN- Lajnah Perpaduan Nasional. Rasa bersalah bila tidak dapat hadir mesyuarat yang sering kali bertembung dengan kerja luar saya. InsyaAllah jika diizinkan saya akan bantu program LPN pada 23-24 May nanti.Sambil minum petang, kami turut mendengar forum bersama YB wanita dari PAS, Keadilan dan DAP. "Wanita berdaya, kita bersaudara" merupakan tema dalam Hi-Tea tersebut. Semua kita adalah bersaudara walaupun berlainan agama. Lebih-lebih lagi pabila kita seagama, satu fikrah, satu tarbiyah.

Firman Allah Taala di dalam surah al-Hujuraat ayat 10:


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ


Maksudnya: "Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat".

Di dalam kehidupan ini, pastinya kita akan berhadapan dengan pelbagai karenah dan ragam manusia. Kadangkala ianya menghiburkan dan ada juga yang menyakitkan hati. Setiap gerak geri kita pastinya akan ada yang memerhatikan. Jika tidak mereka pun, yang pasti Tuhan tetap melihatnya. Persoalannya di sini, adakah kita mampu untuk memuaskan hati semua manusia terutamanya saudara seislam kita? Untuk bersikaf positif jawapannya adalah : ya boleh. Namun secara realitinya, kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua manusia. Allah Taala telah mengurniakan kita dengan kemampuan yang terbatas. Yang mampu kita lakukan adalah buat apa yang kita mampu berlandaskan suluhan iman kepada Allah Taala.
Terkadang kita tidak perasan apa yang kita lakukan telah menyakitkan hati sebahagian pihak. Terkadang hanya gurauan namun natijahnya menyakitkan. Terkadang menegur dengan kebenaran namun mungkin dengan cara yang tidak disenangi. Kita tidak sedar semua perkara itu melainkan jika ada yang menegurnya. Jika perkara itu terus dipendam dan hanya menjadi bualan, sindiran serta umpatan, sudah pasti perkara tadi akan terus menjadi amalan dalam diri kita. Kenapa? Kerana tiada yang ikhlas ingin memperbetulkannya. Lantaran itu dalam mempupuk semangat persaudaraan perlu ada keihklasan dalam membetulkan setiap kesilapan. Jadikanlah diri kita ini saudara yang mudah untuk didampingi dan jadilah pendengar yang setia.

No comments: