Sunday, October 12, 2008

Ziarah kekasih

Bila mengenangkan banyaknya kehilangan yang saya hadapi pada tahun 2008 disusuli dengan pelbagai peristiwa yang menduga hati dan perasaan, rupanya ianya adalah ujian nikmat yang tidak ternilai harganya. Di uji dengan kesusahan dan keresahan sebelum bertemu dengan ketenangan dan nikmat yang tidak ternilai apabila menziarahi bumi haram Makkah dan Madinah. Menziarahi kekasih Ilahi, makam Rasul tercinta Rasulullah s.a.w. Dah lama saya mengidam untuk ke tanah suci. Setiap kali musim haji dan setiap kali ada sahabat yang berjaya menjejakkan kaki ke sana, nun jauh disudut hati tersimpan rasa cemburu. Air mata pasti mengalir kerana hajat tidak kesampaian. Cemburu apabila suami menceritakan kisahnya yang pernah pergi kesana. Ya Allah, bilalah agaknya aku dapat kesana. Alhamdulillah...hajat dan doa terkabul akhirnya. Kami memilih bulan Ramadhan untuk mengerjakan umrah kerana ganjaran pahalanya sama dengan mengerjakan haji. Memang ramai yang tidak mahu pergi pada bulan Ramadhan kerana cuacanya yang agak panas dan bilangan jemaah yang cukup ramai. Jika inginkan keselesaan, mungkin pada cuaca dingin dan selepas bulan haji.
Menceritakan pengalaman apabila kali pertama melihat kaabah; umpama satu mimpi yang realiti. Sukar untuk digambarkan pelbagai perasaan di dijiwa. Pelbagai rasa.... dan linangan air mata mengalir tanpa diminta. Maha Suci Allah, Maha Besar Allah diatas setiap kejadian. Dapat sujud dan berdoa di hadapan pintu kaabah adalah merupakan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan untuk selamanya. Melihat jutaan umat Islam yang berlumba-lumba beribadat, merebut ganjaran di bulan yang mulia.
Kesempatan membawa mak yang juga kali pertama menjadi tetamu Allah, adalah pengalaman yang cukup berharga. Mak menangis kerana kata mak; "kita daripada keluarga susah. Belum seorang pun daripada keturunan mak sejak zaman nenek moyang dulu yang dapat jejakkan kaki ke sini. Semuanya hidup susah. Tak ada yang kerja besar". "Tak apalah mak. Syukur banyak2x kerana kita telah dijemput menjadi tetamu Allah dan Allah telah cukupkan keperluan kita, tanpa kita jangka. Ada orang yang berduit, tetapi belum datang surat jemputan dari Allah; maka mereka tidak hadir ke sini." Dalam keadaan mak yang tidak berepa kuat untuk berjalan, Allah telah mudahkan urusan kami untuk menjaga mak.

Selama 10 hari kami di Makkah dan setiap hari ada sahaja pengalaman-pengalaman berharga yang ditempuhi. Setiap hari kami hadiri kuliah dan sering diperingatkan oleh Ustaz Khairuddin akan pantang larang yang perlu dijaga selama berada di tanah haram. Sempat juga menziarahi tempat2x bersejarah di bumi Makkah seperti Gua Tsur, Padang Arafah, Medan Uhud, Mina dan beberapa masjid yang terkenal disana.

No comments: