Wednesday, March 26, 2008

Urutan Refleksologi

URUTAN REFLEKSOLOGI KAKI

Baru-baru ini salah seorang pakar urutan ini menguhungi saya dan bersedia menawarkan bantuan untuk mengajar sayatentang urutan refleksologi.

Antara yang cukup menarik dimaklumkan tentang urutan refleksologi kaki yang mana ianya sesuai kepada semua peringkat umur selain memberi kesegaran berpanjangan, rawatan berkenaan juga membantu meningkatkan daya ketahanan diri dan menambah keselesaan ketika bergerak.

APAKAH KELEBIHAN URUTAN INI?
  • Melancarkan pengaliran darah
  • Meningkatkan daya tahan individu
  • Mengurangkan risiko tulang reputMenyeimbangkan kedudukan badan
  • Melancarkan pergerakan
  • Menguatkan otot kakiMengurangkan risiko kencing tidak lawas
  • Menguatkan tulang dan pinggulMengurangkan risiko sakit sendi
  • Mengurangkan rasa letih
  • Mengelak risiko sembelitMengurangkan masalah usus
  • Mengurangkan masalah pada bahagian peranakan

Saya bercadanga kan mengadakan kursus ini di NS pada hujung bulan April nanti. InsyaAllah, moga En Fauzi dapat membantu saya menjadi tenaga pengajar.

Monday, March 24, 2008

Jumble Sale untuk Wanita


Di jemput semua wanita untuk hadir mendapatkan barangan yang murah seperti pakaian, majalah den beg-beg terpakai. Harga serendah RM2- RM10 sahaja. Mari kunjungin gerai kami pada tarikh berikut;

1) 30 Mac 2008 - Dataran Senawang pada jam 11.00 - 2.00 petang
2) 5 April 2008 - Kompleks Sukan Paroi pada jam 8.30 pagi - 11.00 thari
3) 6 April 2008 - Apartment Seroja, taman tasik jaya pada jam 8.30 pagi - 12thari
Sila hubungi : Pn Norwani Ahmat 013-3851202 untuk pertanyaan

Jom bantu Ibu Tunggal

Sambutan Maulidur RAsul yang lepas, kami muslimat di Dun Paroi sempat menziarahi beberapa orang ibu tunggal di Taman Tasik Jaya,Senawang. Terdapat lebih kurang 8 orang ibu tunggal di taman tersebut dan ada yang benar-benar memerlukan pertolongan kita.

Rasa terharu mendengar kisah Pn Sabariah yg kehilangan suami dalam bulan Syawal yg lepas dan kini menanggung 3 orang anak. Beliau tidak bekerja dan dulu suaminya hanya mengajar kelas mengaji Al Quran. Beliau risau kerana dah 2 bulan tidak mampu membayar harga bulanan motorsikal milik arwah suaminya.

Ya Allah, ramainya yang susah disekeliling kami.Berilah kekuatan kepada kami untuk membantu mereka. Kami sempat memberikan sedikit sumbangan kepada Pn Sabariah dan Pn Zaleha. InsyaAllah pada 30 Mac ini kami akan serahkan sumbangan barangan keperluan dapor kepada 20 orang ibu tunggal di sekitar Dun PAroi.

Kepada yang ingin menyumbang boleh hubungi Pn Norwani - 013-3851202

Tuesday, March 18, 2008

Indahnya Penulisan

Bengkel penulisan kreatif 16 Mac 2008 yang lepas cukup bermakna kepada saya kerana dapat bertemu dengan penulis novel & cerpen terkenal, Profesor Amina atau lebih dikenali dengan nama pena ANIS.

Rasa bersemangat untuk menulis kembali kerana bidang penulisan dan puisi memang satu bidang yang amat saya gemari. Cuma semenjak bekerja minat ini terpaksa ditinggalkan akibat terlalu sibuk dengan urusan kerja. Jika di zaman persekolahan berpuluh sajak dan puisi yang saya berjaya hasilkan dalam setahun tetapi kini, satu puisi pun belum tentu dapat dihasilkan dalam setahun.

Harumnya puisi dan indahnya bahasa, sentuhan dan pembentangan yang cukup menarik oleh Pn Mahaya Mohd Yasin, Musyi Dewan dan pesyarah di IPRM. Walaupun kehadiran tidak ramai namun majoriti remaja yang hadir merupakan bakal penulis muda.

InsyaAllah, doakan kelahiran buku sulung saya dalam sebulan 2 ini yang bertajuk " Gelombang hijau di Daerah Beradat". Buku puisi yang lepas masih lagi tidak keluar. Moga Allah berikan ilham untuk terus menulis. InsyaAllah

Sunday, February 17, 2008

Khidmat Kesihatan Percuma

Seronok sekali rasanya apabila dapat membantu sahabat -sahabat dari kalangan doktor yang membuat Khidmat Kesihatan Percuma (KKP) buat penduduk di Rembau. Dalam bulan Feb 2008 ini sahaja terdapat 3 program KKP yang berjaya dilaksanakan iaitu pada 7 Feb di Taman Seremban Jaya, 8 Feb di Kampung Astana Raja, Kota dan 17 Feb di Kampung Baru Kombok.

Alhamdulillah, sambutan penduduk di Kampung Baru Kombok yang majoritinya India, amat baik. Rasa kasihan apabila melihat majoriti penduduknya mempunyai tahap kesihatan yang kurang memuaskan. Ramai antara mereka yang menghidap penyakit kencing manis dan penyakit kulit. Mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan tentang kesihatan dan kurangnya kemampuan mereka untuk mendapatkan rawatan.

Ya Allah, mudahkan urusan mereka Ya Allah. Kuatkanlah hati kami untuk berdakwah dan membantu mereka yang memerlukan. Sesungguhnya Islam itu indah dan nikmatnya dirasai oleh semua insan tanpa mengira apa anutan agama mereka. Program KKP ini telah merobohkan tembok antara kami dengan non- Malay. Mereka juga perlu dibantu.



Terima kasih kepada doktor-doktor yang prihatin. Sahabat-sahabat yang prihatin dengan menonjolkan imej Islam dan membantu siapa sahaja tanpa mengira batasan agama dan bangsa.


Ajar Anak Tentang Kehidupan


"Ummi...banyaknya coklat dan gula-gula. Ummi beli untuk Nani ye?" anak yang ke-2 bertanya. " Coklat ini untuk orang lain. Ada ramai budak-budak yang tak dapat rasa coklat dan gula-gula macam Ain dan Nani. Mari bantu ummi bungkuskan" Alhamdulilllah... walaupun kecil mereka faham ummi sibuk dengan kerja-kerja dakwah.

Operasi membungkus 'jajan' untuk diedarkan kepada kanak-kanak di Kampung Baru Kombok ambil masa yang singkat bila anak-anak turut membantu. Rasa hilang penat melihat keletah anak-anak yang turut sama turun padang membantu saya menyiapkan lebih 75 bungkusan 'jajan'.
"Ya Allah, jadikan anak-anakku penguatku dalam kehidupan ini; yang memberi semangat dan motivasi untuk terus berada dalam medan dakwah. Tetapkan hati anak-anakku untuk menjadi insan yang memahami erti kesusahan dan membantu insan yang memerlukan. Moga mereka sedar akan erti kehidupan dan pengorbanan." Amin..

Tuesday, February 12, 2008

Doakan keselamatan mereka

Hujan,panas, sejuk, debu, asap...semuanya pasti ditempuhi oleh penunggang motorsikal. Setiap hari saya melihat penunggang motorsikal dilebuhraya. Rasa kasihan kerana kebanyakkan antara mereka adalah golongan bapa dan para suami yang berulang alik ke tempat kerja dengan motorsikal.

Risiko cukup banyak! Mangsa kemalangan jalanraya juga majoriti daripada penunggang motorsikal. Suami saya pun kadang kala menunggang motorsikal untuk ke tempat kerja. Allah sajahalah yang mengetahui hati yang risau apabila beliau lambat balik. Pabila hujan, hati risau lagi. Bukan saya seoarang tetapi semua isteri akan risau memikirkan keselamatan suaminya apabila ke tempat kerja.

Begitu payahnya suami mencari nafkah dan berkorban untuk keluarga. Isteri kenalah bertibangrasa dan sentiasa mendoakan kesejahteraan suami. Hargailah segala kesusahan yang dilaluinya ketika ke tempat kerja. Kadang kala di timpa hujan, bersejuk di subuh hari dan kadang kala diuji dengan tayar pancit.

Marilah kita sama-sama mendoakan keselamatan mereka. Bukan setakat suami kita tetapi doakan sesiapa sahaja yg mengalami kesusahan di jalanraya.

Monday, February 11, 2008

Padanya ada ketenangan

"Puan tak letih? Hari-hari keluar, cuti pun keluar. Siang kerja, mlm keluar lagi" antara soalan yang kerap Kak Midah sering lontarkan kepada saya. Bila nak katakan letih, semua kerja letih. Mana ada kerja yang tak letih. Kalau tidur terlalu banyak pun, bila bangun pasti letih.

`Yang pastinya saya rasa seronok dan puas hati sangat bila dapat bantu orang lain. Rasa bersemangat dan berbaloi bila dapat buat banyak perkara dalam satu masa. Penat memang ada. Masalah memang ada... mana ada kerja yang tiada masalah.

Bila rasa nak marah, rasa nak melenting, rasa sedih, rasa tertekan, peluklah anak kecil jika ada. Ini solution jangka pendek untuk redakan hati...

MasyaAllah, tenang rasanya, terhibur hati bila dapat memeluk si kecil. Pada diri anak-anak ini ada satu kekuatan yang mampu mengawal emosi kita. Senyumannya, gelak tawanya, keletahnya pasti buat kita terhibur seketika. Meskipun ianya hanya sementara, InsyaAllah hati akan rasa tenang bila kita banyak belai si kecil. Sesungguhnya pada insan yang tidak berdosa ini ada ketenangan bagi mereka yang tahu menghargainya.

Sayangilah anak anda. Meskipun tak dapat peluk selalu, cubalah amalkan walaupun sekali dalam sehari. InsyaAllah padanya ada ketenangan dan kasih sayang.

Saturday, February 9, 2008

Indahnya Persaudaraan ISLAM


Minggu lepas kami berjumpa dengan En Kassim, salah seorang saudara baru dalam Islam. Beliau adalah bekas sami dan dulunya hidup dalam kesenangan dan dihormati. Apabila beliau memeluk Islam, hidupnya susah, tiada pekerjaan dan di pandang serong oleh keluarga.

Alhamdulillah, sahabat2x seIslam banyak membantu beliau dan memberikan sokongan moral kepadanya. Marilah kita sama-sama membantu sahabat2x kita saudara baru untuk memulakan kehidupan di dalam agama yang indah dan suci ini. Ya Allah, betapa suci dan mulianya agamaMu ini. Agama yang memberi kehidupan dan nur cahaya kepada seluruh alam.

Nasib Mat & Minah Rempit

Ya Allah... setiap petang, ada sahaja bunyi bising yang mengganggu kami di Taman Sri Pulai 3. Jiran-jiran merungut kerana jalan di taman rumah kami dijadikan litar 'merempit' untuk anak-anak muda di sebelah petang. Gaya dan aksi mereka amat membahayakan keselamatan bukan setakat diri sendiri malah penduduk lain yang sedang berbasikal, berjoging di petang hari. Hendak ditegur, takut pula rumah kami menjadi mangsa lemparan batu. Laporan telah banyak kali dibuat tetapi yang mampu dilakukan oleh pihak polis hanyalah meronda. Namun mat dan minah mereka ini tidak serik selagi tiada nyawa yang hilang.


Pada 30 Jan yang lepas, saya hilang sabar dan bercadang mengambil gambar anak muda yang merempit ini. Saya bercadang nak tunjukkan kepada ibubapa ditaman yang berdekatan yang tidak pedulikan lansung perangai anak-anak yang berpeleseran dan mengganggu ketenteraman awam. Sampai terdetik berdoa agar mereka ini jatuh. Agaknya mulut saya masin, Allah kabulkan doa;malam itu juga sepasang mat & minah rempit kemalangan dan motor mereka meletup tepat jam 8mlm.


Lama juga mereka tersadai di tengah jalan.Tiada seorang pun jiran yang nak membantu. Biar mereka rasa. Kasihan si ibu menangis-nangis memangku anak gadisnya yang cedera ketika merempit waktu Maghrib. Si mat rempit pula , patah tulang tengkuk. Agaknya inilah kesan doa penduduk setempat yang tidak tahan lagi dengan aktiviti merempit di taman ini. Seminggu dua ini, taman kami sedikit aman. Moga ianya menjadi pengajaran kepada semua anak muda yang hadir malam itu menyaksikan kemalangan ngeri teman serempit mereka. Ini adalah gamabr sebelum dan selepas yang saya ambil. Taka sampai 1 jam, doa jadi kenyataan. Kepada semua ibubapa. sayangilah anak anda. Perhatikan ke mana hilangnya anak anda dengan motorsikal.

Tuesday, February 5, 2008

Sesak yang menyesakkan & membahayakan


"Seperti sardin? rasanya lebih dari tin sardin. Dalam tin sardin pun masih ada ruang-ruang kuah untuk bernafas. Ini sesak dah macam ikan bilis. Masing-masing terpaksa mengempiskan perut dan badan. Cuba menyelit dan kadangkla tersepit. Sesak dan merimaskan...sungguh tidak selesa." Itulah keluhan penumpang yang terpaksa berhimpit-himpit ketika menaiki tren komuter, sistem pengangkutan awam yang disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menaiki tren komuter yang sarat dengan penumpang untuk ke tempat kerja bukanlah pengalaman yang diinginkan, namun itulah yang terpaksa dilalui para penumpang setiap pagi.Keadaan itu diburukkan lagi dengan kelewatan tren, atau lebih teruk dibatalkan akibat kerosakan teknikal. Akibatnya, permulaan hari penumpang yang rata-rata terdiri daripada golongan pertengahan dan berpendapatan rendah bertukar menjadi "huru-hara" kerana terlewat sampai ke pejabat, bergegas mencari pengangkutan alternatif dan pelbagai lagi masalah

Situasi seperti berdiri selama hampir 15 minit dalam keadaan berhimpit-himpit dan tidak selesa, ibarat "ikan bilis manusia", adalah rutin harian yang terpaksa dilalui setiap penumpang komuter dari stesen seremban ke, Sungai Buloh ke stesen KL Sentral setiap pagi.Cuba bayangkan, kalau penumpang yang sihat dan cergas pun terasa tertekan akibat tren yang sesak, apatah lagi penumpang warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita mengandung dan kanak-kanak yang sudah tentu tidak mampu berhadapan dengan situasi sebegitu.

Keadaan berhimpit-himpit begitu memberikan ruang kepada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mencabuli kehormatan golongan wanita atau untuk menyeluk saku."Apa boleh buat sudah terpaksa. Setiap kali naik tren komuter macam nak kena `heart attack' (sakit jantung) sebab saya takut tren lewat atau rosak,"

Telah banyak komen dan surat di buat namun perkhidmatan masih seperti ini setlah lebih 2 tahun setengah saya menggunkan perkhidmatan ini dari seremban ke Kuala Lumpur. Selagi boleh sumbat, selagi itu kami terpaksa berhimpit-himpit masuk ke dalam tren. Selagi tidak berlaku kematian,kemalangan, maka selagi itu tiadanya langkah pembaikan diambil. Sampai bila keselamatan awam ini dipandang ringan? Adakah nyawa sebagai ukuran? sebagai wanita, terpaksa berhimpit seperti ikan bilis sesama lelaki. Adakah kemudahan lain untuk wanita seperti kami?

Thursday, January 31, 2008

Jom Hidupkan sunnah Nabi

Rasulullah s.a.w akan berbekam apabila baginda sakit. Banyak manfaat dan kebaikan jika kita berbekam dan cuba hidupkan sunnah Nabi ini.

Alhamdulillah, minggu lepas 4 orang muslimat Rembau telah mengikuti kursus bekam ini dengan Ustaz Abdul Hadi. MasyaAllah, banyaknya ilmu yang dipelajari. Kami dibekem dan belajar membekam.

InsyaAllah, mana-mana muslimat yang ingin berbekam bolehlah menghubungi kami. Marilah kita sama-sama hidupkan sunnah Rasulullah ini.
Di samping badan sihat, pahala juga kita akan dapat.

Antara sifat dan amalan NAbi yang perlu dijadikan renungan kita bersama. Apa Rasullullah suka
1. Malu
2. Sabar
3. Bekam
4. Siwak
5. Memakai wangi-wangian

Sunday, January 20, 2008

4 PERKARA YANG PAYAH

Saidina Ali dalam riwayatnya mengatakan ada 4 perkara yang payah untuk dilaksanakan oleh orang yang beriman.

1. Memaafkan orang lain dalam keadaan dia sedang marah
2. Memberi /bersedekah dalam keadaan dia kesempitan
3. Mengelak melakukan dosa dalam keadaan dirinya sendirian
4. Menasihati orang yang kita mengharapkan kebaikan daripadanya /takut dengannya

CANTIKNYA SEORANG WANITA


Cantik, lawa, menarik, beautiful, cute... semuanya terlalu subjektif. Setakat mana cantiknya seorang wanita?Adakah di wajahnya? adakah cantik sebab tubuh badannya, senyumannya? atau cantik budi pekertinya?

Zaman sekarang, manusia sanggup buat apa sahaja untuk kekal cantik dan bagi kaum wanita mereka akan cuba pelbagai teknik untuk terus anggun dan cantik walaupun di usia tua...

Inilah akibatnya...... apabila sanggup binasakan diri dengan pembedahan kecantikan

NST - KUALA LUMPUR - 20th Jan 2008: The wife of a member of parliament is fighting for her life following a botched cosmetic surgery. The Health Ministry has picked up a doctor, in his 30s, for questioning.The 44-year-old woman, a Datin, is now on a life-support machine at a private hospital and her condition is classified as very critical. All she wanted was to look good. She had an eye bag surgery, a tummy tuck and liposuction. Now, she is unconscious and has been hooked to the life-support machine since last Friday.

Duhai wanita....

Wajahmu akan berseri dengan cahaya Illahi
Wajahmu akan tampak segar dengan zikrullah
Wajahmu akan cantik menawan dengan sekukuh iman
Wajahmu akan nampak bersih dengan keihklasan
Wajahmu akan makin menarik dengan kemurahan hati

Jadilah insan yang cantik dan anggun di sisi suami dan Ilahi...
Cantik di sisi Allah dengan ibadah dan kecintaan
Cantik di sisi suami dengan ketaatan dan kasih sayang

Friday, January 18, 2008

Selamatkah Pemandu Wanita?

Pemandu Wanita Sendirian Pemandu wanita memandu sendirian seringkali menjadi mangsa pembuli jalan raya, penjenayah dan sebagainya. Modas operasi mereka ialah dengan melanggar kereta yang dipandu wanita sendirian kemudian merompak atau menculik mereka apabila mereka keluar dari kereta untuk memeriksa kerosakan. Walaupun adalah lebih baik jika berteman semasa memandu, ada kalanya wanita tidak dapat mengelak daripada memandu sendirian. Ahli perniagaan wanita contohnya, seringkali keluar memandu sendirian untuk bertemu dengan rakan kongsi atau pelanggan.

Jika anda memandu sendirian, amalkan langkah-langkah berikut untuk mengelakkan daripada terjadi perkara yang tidak diingini:

  1. Sentiasa pastikan kereta anda berada di dalam keadaan yang memuaskan untuk mengelakkan sebarang kerosakan ketika memandu

  2. Bawalah telepon mudah alih bersama untuk meminta bantuan jika perlu

  3. Pastikan pintu dan cermin kereta sentiasa berkunci

  4. Jangan biarkan beg tangan atau beg kerja berselerak di dalam kereta. Letakkan di tempat yang tersorok

  5. Jangan sekali-kali berhenti untuk bertanya alamat dari orang yang tidak dikenali.Tanyalah alamat di stesen petrol atau kaunter tol

  6. Jika diekori, pandulah kereta anda ke balai polis yang berhampiran

  7. Jangan tumpangkan orang yang tidak dikenali

  8. Jangan sekali-kali keluar dari kereta jika anda dilanggar secara sengaja oleh pemandu lain Catat nombor pendaftaran kereta tersebut, warna dan lain-lain dan gunakan telepon mudah alih untuk meminta bantuan. Anda juga boleh memandu terus ke balai polis yang berhampiran untuk mebuat laporan polis

  9. Jika anda berada di dalam kesusahan atau orang yang mencurigakan menghampiri kereta anda, bunyikan hon kereta atau nyalakan lampu depan kereta untuk menarik perhatian orang sekeliling

  10. Jika anda diugut oleh perompak, serahkan kunci kereta dan wang anda tanpa berlengah-lengah

  11. Jika tayar kereta pancit di tempat yang gelap dan asing bagi anda, pandu perlahan-lahan ke stesen petrol atau tempat awam yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan

Anda Suku Biduanda?

Emak kata, kami suku biduanda. Mana asalnya suku ni? Mari selidik sedikit sejarah NS.

Negeri Sembilan pada asalnya didiami oleh orang-orang asli daripada suku kaum Sakai, Semang dan Jakun. Mereka hidup berpindah randah, memburu, mengutip hasil hutan dan ada yang mula bertani.

Pada permulaan abad ke-14 Masehi orang-orang Sumatra dari Tanah Minangkabau mulai tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka dan sampai ke Rembau. Orang Minangkabau ini lebih bertamadun daripada Orang Asli ini dan berjaya memujuk hati orang Asli. Dengan itu berlakulah nikah kahwin antara orang-orang Minangkabau ini dengan penduduk asli dan daripada keturunan mereka dinamakan suku Biduanda.

Suku Biduanda ini adalah pewaris asal Negeri Sembilan dan apabila hendak memilih pemimpin maka hanya mereka dari suku Biduanda inilah yang akan dipilih. Orang-orang Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau. Pada peringkat awal kebanyakan yang tiba adalah dari Tanah Datar dan Paya Kumbuh.

Dari suku Biduanda inilah asalnya pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil Penghulu dan kemudiannya Undang. Sebelum wujudnya Yang DiPertuan Besar, Negeri Sembilan adalah di bawah naungan kerajaan Melayu Johor.
Ketibaan Raja Melewar dari Pagar Ruyung, Minangkabau pada 1773, memulakan institusi beraja di Negeri Sembilan. Uniknya ialah raja di Negeri Sembilan adalah yang dijemput oleh pembesar-pembesar negeri (Penghulu) dari Pagar Ruyung dan dirajakan di Negeri Sembilan. Sebab itulah raja tidak digelar Sultan tetapi memakai gelaran Yang DiPertuan atau Yamtuan. Asal penubuhan Negeri Sembilan adalah oleh Dato' Pepatih Nan Sebatang.

Beliau juga merupakan pengasas bagi adat pepatih yang sangat dikenali umum. Seperti yang di ketahui umum, adat pepatih lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Pada dasarnya, adat ini adalah adat yang terbaik di Negeri Melayu kerana ia sangat mencakupi segala aspek. Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan.

Berbeza dari kesultanan Melayu yang lain, harta dan darah keturunan di warisi oleh kaum lelaki. Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya.

Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami. Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita dan di bahagi mengikut hukum Islam. Hasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual malah di dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Tuesday, January 15, 2008

TALIAN NUR UNTUK WANITA .... 15999

Monday, January 14, 2008

Cuaca Panas - Pesan Mufti NS

RAMAI mengeluh cuaca sekarang semakin panas. Kepanasan matahari semakin terik terutama pada tengah hari.Mereka turut mengaitkan kemungkinan kepanasan itu balasan kepada manusia kerana sering melakukan kerosakan di muka bumi.Pandangannya itu mungkin benar dan tidak tetapi apa yang nyata kerosakan yang dilakukan manusia ke atas bumi memang tidak dapat dinafikan sejak berabad lalu.Penebangan hutan secara tidak terkawal, pencemaran industri, penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa dan pelepasan gas rumah hijau antara contoh ‘kerosakan’ yang dilakukan manusia hingga memberi kesan terhadap bumi.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dilaporkan berkata secara kasar, senario pemanasan global dijangka meningkatkan suhu 4.5 darjah Selsius dengan pengurangan 10 peratus hujan sekali gus mengurangkan kadar penerimaan air antara 13 peratus dalam musim tengkujuh dan 53 peratus musim kemarau.“Peningkatan aras laut pula mampu menghasilkan gelombang ganas yang mengancam garis pantai dan struktur hakisan pantai, pemusnahan zon penampan paya bakau yang mengakibatkan kerosakan habitat asli serta kehidupan akuatik seperti ketam, ikan, udang, flora dan fauna.

“Cendekiawan juga menganggarkan lebih ramai orang akan terkena penyakit atau mati kerana tekanan cuaca panas dengan wabak penyakit yang biasa ditemui di daerah tropika seperti disebabkan nyamuk atau haiwan pembawa penyakit lain,” katanya.

“Sejak 10 tahun kebelakangan ini, manusia semakin terancam berikutan bencana kerap berlaku. Taufan, banjir, kemarau dan wabak penyakit berkaitan alam sekitar semakin kerap dan ancamannya bertambah meluas.“Senario pemanasan global turut menggiatkan kesan El Nino, terutama membabitkan kejadian kemarau dan banjir.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Murtadza Ahmad, pula berpendapat, doa adalah persediaan terbaik dalam menghadapi apa jua ujian Allah seperti bencana alam.“Rasulullah sendiri membuktikan bahawa solat, doa dan dengan izin Allah, masalah kemarau dan banjir dapat diatasi,” katanya.Menurutnya, maksud Surah al-Taghabun 64:11 iaitu

‘Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu’ memberi kesimpulan nyata kepada umat Islam.“

Umat Islam perlu kembali mentaati agama dan menjauhi maksiat. Melakukan ibadat berterusan dan banyak berdoa kepada Allah dalam menghadapi ujian,” katanya.

* Adaptasi drp Harian Metro

Motivasi Anak


Kita sentiasa sibuk...tiada masa untuk anak2x? Kadangkala saya pun begitu. Keluar rumah seawal jam 6.30pagi untuk ke tempat kerja. Balik rumah selalunya tiba jam7.00malam. Itupun kalau keluar office tepat jam 5.30pm. Kadang kala terlajak hingga ke jam 9.00pm baru tiba di stesen komuter.


Biasanya bila ada meeting sebelah malam, saya tidak sempat pulang ke rumah. Sampai sahaja stesen komuter, terus ke tempat meeting. Hati terasa sayu juga sebab tak sempat berjumpa dengan anak2x. balik meeting biasanya jam 12tengah malam baru sampai rumah. Anak2x semuanya telah tidur. Satu hari nampaknya saya tidak bertentang mata,bertemu anak2x. Pernah juga lebih 5 hari.

Anak2x perlu juga dirai dan disayangi. Peluklah mereka setiap hari. Raikanlah ulangtahun mereka sekerap yg mungkin. Jangan tunggu hari jadi mereka sahaja. Ada peluang, saya akan beli kek dan sambut bersama mereka. Bila di tanya, "hari jadi siapa ummi"? "Hari ini hari jadi semua orang...hari jadi ain,nani dan azzam." Semua akan gembira.

Ada peluang, bawa mereka jalan-jalan walaupun setakat berlegar di sekeliling taman. Motivasikan anak anda. Sayangi mereka sepenuhnya selagi Allah kurniakan anda masa lapang.

Sedekah - Bantu yang susah

Assalamu'alaikum wbt

Banyakkan sedekah. Bantulah yang susah. Ramai antara kita, jiran-jiran kita dan sanak saudara sekeliling yang susah. Namun...berapa ramai yang prihatin dengan kesusahan mereka. Bulan puasa yang lepas, muslimat Rembau telah dapat mengumpulkan wang dan barangan untuk di sedekahkan kepada 36 orang keluarga miskin termasuk anak yatim dan ibu tunggal.


Semasa Raya haji, 12 keluarga telah menerima sumbangan barang dapor. (gambar kami membungkus barangan sumbangan).

Ramai lagi yang susah namun orang yang nak menyumbang tak banyak. Risau saya bila tidur dalam keadaan kenyang sedangkan ada yang tidur dalam kelaparan. Ya Allah bantulah mereka...

Marilah kita banyakkan sedekah.Memberi sedekah itu hukumnya sunat. Firman Allah:

“Siapakah orangnya yang (mahu) mmberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan akan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah) Allah jualah yang menyempit dan meluaskan (pemberian rezeki), dan kepadaNya lah kamu semua dikembalikan.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 245)

Firman Allah di dalam ayat yang lain:
“Dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan berikanlah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah amat Pengampun, lagi amat Mengasihani.”
(Surah Al-Muzzammil, ayat 20)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga ada menyebutkan mengenai suruhan dan galakkan bersedekah itu, sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya :

Maksudnya: “Mana-mana orang mukmin yang memberi makanan kepada seorang mukmin yang lain kerana kelaparan, maka Allah akan memberi makanan kepadanya pada Hari Kiamat dari buah-buah Syurga. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi minuman kepada seorang mukmin yang lain kerana kehausan, maka Allah akan memberi minuman kepadanya pada Hari Kiamat dari khamar Syurga yang termetri bekasnya. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakaian kepada seorang mukmin yang lain kerana tidak berpakaian, maka Allah akan memberi pakaian kepadanya dari pakaian Syurga yang berwarna hijau.”
(Hadits riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)